Sejarah

Bergambar bersama Tuan Haji Abu Bakar bin Harun sebelum memulakan Ekspedisi Mendaki Bukit Tunggul

Kem Cangkat Budaya berasal dari sebuah dusun persendirian di kampung Jenderam Hilir yang terletak dalam daerah Sepang di Selangor. Dusun tersebut merangkumi beberapa zon terdiri daripada kawasan berpaya, lereng bukit dan bukit kecil. Pelbagai jenis pokok buah-buahan seperti durian, dokong, rambutan, pulasan dan mangga telah ditanam oleh pemilik dusun ini iaitu Allahyarham Tuan Haji Abu Bakar bin Harun. Dua buah kolam ikan bersaiz besar juga telah digali sekitar akhir tahun 80-an bertujuan untuk penternakan ikan air tawar.

Bergambar di puncak Bukit Tunggul

Dusun ini telah digunakan buat pertama kali sebagai tapak perkhemahan oleh Krew Kelana 'C' Daerah Johor Bahru yang ketika itu sedang mencari tempat yang sesuai untuk memulakan perjalanan mereka sebagai sebuah krew Pengakap Kelana. Ketika itu majoriti ahli krew tersebut sedang menuntut di Universiti Teknologi Malaysia, Skudai tetapi berasal dari seluruh negara. Oleh itu, tapak perkhemahan tersebut dipilih sebagai lokasi berikutan kedudukannya yang tidak jauh daripada Kuala Lumpur dan pengangkutan awam. Ini memudahkan mereka untuk sampai di lokasi tersebut dari rumah masing-masing semasa cuti semester.

Sesi Latihan Asas Pertolongan Cemas

Selain tapak perkhemahan dan aktiviti kepengakapan, tapak kem juga terletak berdekatan dengan Bukit Tunggul iaitu bukit yang paling tinggi di dalam daerah Sepang. Perkhemahan kali pertama tersebut telah diadakan pada 26 hingga 28 Mac 2004. Semasa perkhemahan ini, infrastruktur asas belum dibina kerana belum ada perancangan untuk memajukan tapak tersebut secara komersil sebagai tapak perkhemahan. Antara aktiviti-aktiviti yang diadakan semasa perkhemahan yang pertama tersebut ialah:
  • Eksedisi Mendaki Bukit Tunggul dipimpin oleh Tuan Haji Abu Bakar bin Harun
  • Latihan Asas Pertolongan Cemas oleh Encik Nasir Khan bin Abdul Rahman, Jurulatih PBSMM
  • Pengenalan Kepada Perkhemahan
  • Sesi Kompas dan Pandu Arah
  • Sesi Simpulan dan Ikatan Asas
  • Sesi Pembinaan Gejet

Para peserta perkhemahan sedang membina gejet di tapak perkhemahan

Walau bagaimanapun, disebabkan tapak tersebut terus digunakan dari semasa ke semasa hingga ke hari  ini, pelbagai infrastruktur dan kemudahan telah dibina bagi kemudahan para pengguna. Pada hari ini, selepas lebih 10 tahun Kem Cangkat Budaya beroperasi sebagai sebuah tapak perkhemahan, kem ini terus dibangunkan dari semasa ke semasa supaya dapat menjadi tapak perkhemahan yang mesra pengguna dan dapat memberi manfaat kepada generasi muda. 

No comments:

Post a Comment